Monday, 14 July 2014

Tanda-Tanda Penyakit Kencing Manis Yang Perlu Anda Tahu

Tanda-tanda atau simptom kencing manis kadang-kadang terlalu sukar untuk dikesan sehinggakan pesakit tidak sedar mereka menghidapinya sehinggalah penyakit itu sampai ke tahap yang sangat serius. Oleh itu adalah penting untuk anda megenalpasti tanda-tanda tersebut untuk mengelakkan anda dari menjadi mangsa kencing manis.


Jenis kencing manis

Terdapat dua jenis diabetes - Jenis 1 (Type 1) dan Jenis 2 (Type 2). Kira-kira 90 peratus daripada pesakit kencing manis adalah dari Jenis 2. Terdapat salah faham yang mengatakan kencing manis Jenis 2 adalah kurang serius berbanding Jenis 1, mungkin kerana pesakit Jenis 1 perlu menyuntik diri sendiri dengan insulin.
Perbezaan kencing manis Jenis 1 dan Jenis 2 adalah bagi Jenis 1 badan tidak menghasilkan insulin manakala Jenis 2 sel-sel tidak bertindak balas dengan baik terhadap insulin dan / atau insulin yang dihasilkan tidak mencukupi. Kedua-dua jenis adalah serius jika tidak diurus dengan baik.


Simptom kencing manis

Berikut adalah 10 tanda-tanda umum penyakit kencing manis yang anda boleh perhatikan. Tidak semua orang akan mengalami semua gejala berikut dan bagi mereka yang mengalaminya biasanya ianya tidaklah teruk. Ramai orang yang menghidapi Jenis 2 tidak menyedarinya selama bertahun-tahun kerana tanda-tanda awalnya kurang ketara.
Doktor boleh melakukan ujian yang mudah untuk menilai risiko kencing manis anda. Berdasarkan keputusan yang diperolehi anda boleh membuat perubahan kepada gaya hidup anda sebelum ianya terlambat.
tanda kencing manis

10 Tanda-Tanda Umum Penyakit Kencing Manis
  1. Paras gula darah tinggi
    Cara terbaik untuk memeriksa tahap gula dalam darah anda adalah dengan dibuat ujian oleh doktor anda. Selepas anda memakan makanan, tahap gula darah secara semulajadi akan meningkat. Walau bagaimanapun, tahap gula darah yang tinggi secara berterusan sepanjang hari adalah tidak normal.
  2. Dahaga yang berlebihan dan kerap kencing pada waktu malam
    Kerap ke bilik air di waktu malam diikuti dengan dahaga yang berlebihan pada boleh menjadi gejala diabetes. Dahaga yang berlebihan ini tidak hilang walaupun setelah meminum air yang mencukupi sebelum tidur.
    Apabila terdapat terlalu banyak glukosa dalam darah, buah pinggang anda bekerja lebih keras untuk menghilangkan gula tambahan tersebut. Ini memaksa anda membuang air kecil, kadang-kadang beberapa kali pada waktu malam. Selepas badan anda kehilangan air dan ia akan membuat anda rasa lebih dahaga.
    Ia adalah cara badan anda menguruskan gula darah yang tinggi. Dahaga yang berlebihan bermakna badan anda sedang cuba untuk menambah cecair yang hilang.
  3. Hilang berat badan secara tiba-tiba
    Tahap gula dalam darah yang tinggi boleh menyebabkan kehilangan berat badan yang cepat, disekitar 2-3 kg dalam dua atau tiga bulan. Sesetengah orang mungkin gembira tetapi ini bukanlah kehilangan berat badan yang sihat.
    Oleh kerana hormon insulin yang tidak membekal glukosa ke dalam sel-sel di mana ia boleh digunakan sebagai tenaga, badan menganggap ia kelaparan lalu menguraikan lemak pada otot sebagai sumber tenaga alternatif.
  4. Sentiasa rasa lapar
    Apabila pesakit kencing manis tidak mempunyai insulin atau tidak bertindak balas terhadap insulin seperti kebiasaan, glukosa tidak dapat diproses oleh badan seperti biasa, menyebabkan tahap gula dalam darah untuk kadang-kadang jatuh.
    Apabila tahap gula dalam darah menurun secara tiba-tiba, badan menganggap bahawa anda kelaparan dan memerlukan lebih glukosa untuk berfungsi. Isyarat ini diterjemahkan oleh badan sebagai rasa lapar.
  5. Luka lambat sembuh
    Ini adalah tanda klasik kencing manis. Ia berlaku kerana saluran darah dirosakkan oleh glukosa yang berlebihan bergerak di dalam urat dan arteri. Ini menyukarkan darah yang diperlukan untuk membantu penyembuhan, untuk sampai ke anggota-anggota di badan.
  6. Keletihan dan cepat marah
    Usaha tambahan badan anda untuk mengimbangi kekurangan glukosa akan membuat anda letih. Bangun tidur untuk pergi ke bilik air beberapa kali pada waktu malam juga akan membuat anda letih kerana ia mengganggu tidur anda. Sememangnya, letih sepanjang masa akan membuat sesiapapun cepat marah.
  7. Terdedah kepada jangkitan kulat
    Wanita khususnya, perlu berhati-hati untuk jangkitan yis (candida) pada faraj. Diabetes melemahkan imunisasi, ini bermakna anda mudah mendapat pelbagai jangkitan, yang paling biasa ialah yis (candida) dan jangkitan kulat yang lain.
  8. Penglihatan kabur
    Apabila glukosa dalam darah adalah tinggi, ia mengubah bentuk kanta dan mata, menyebabkan penglihatan kabur.
    Walabagaimanapun ia akan kembali kepada asal apabila tahap gula dalam darah kembali normal atau hampir normal. Gula darah yang tinggi, sekiranya dibiarkan untuk tempoh yang panjang, akan menyebabkan kerosakan kekal, mungkin juga buta.
  9. Sensasi pada tangan dan kaki
    Kesemutan, kebas, kesakitan membakar atau bengkak pada tangan dan kaki: Ini adalah tanda-tanda bahawa saraf dirosakkan oleh kencing manis. Sama seperti penglihatan, jika tahap gula darah dibiarkan tinggi terlalu lama, kerosakan saraf juga akan kekal.
  10. Kulit merengsa
    Ini boleh menjadi tanda amaran kencing manis atau masalah kulit yang lain seperti acanthosis nigricans. Kulit di sekitar leher atau bahagian ketiak menjadi gelap. Pada tahap ini seseorang itu sudah mula mengalami proses penentangan insulin walaupun gula dalam darah mereka mungkin tidak tinggi.

Kenali Penyakit Kencing Manis @ Diabetes

PENYAKIT KENCING MANIS

Kencing Manis
Penyakit kencing manis juga dikenali sebagai diabetes mellitus. Penyakit ini ialah suatu keadaan yang mana terdapatnya ketiadaan atau kekurangan penghasilan insulin, atau badan bersifat rintang terhadap insulin. Insulin ialah suatu hormon yang dihasilkan oleh pankreas. Insulin berfungsi untuk meningkatkan penyimpanan karbohidrat, lemak dan protein. Ia bertanggungjawab untuk proses glikogenesis, iaitu penukaran glukosa kepada glikogen dalam hati dan otot. Insulin juga menyebabkan lipogenesis, iaitu pembentukan trigliserida dan lemak. Ia juga menghalang pemecahan lemak dan meningkatkan penghasilan glukosa dalam hati.

Penyakit kencing manis juga boleh dikelaskan kepada:

Diabetes Primer

Jenis I (IDDM) 
Jenis ini dikenali sebagai Diabetes Mellitus Bergantung Insulin kerana insulin yang dihasilkan oleh badan adalah sangat rendah dan tidak mencukupi untuk keperluan badan. Bentuk ini lebih kerap ditemui dalam kanak-kanak dan remaja. Hanya 10% daripada pesakit kencing manis yang berusia lebih daripada enam puluh lima tahun menghidapi penyakit kencing manis jenis ini. Keadaan ini boleh dirawat dengan pengawalan pemakanan dan melalui suntikan insulin. 

Jenis II (NIDDM) 

Jenis ini juga juga dikenali sebagai Diabetes Mellitus Tak Bergantung Insulin. 90% daripada kes penyakit kencing manis tergolong dalam jenis ini. Dalam Diabetes Jenis II, pankreas menghasilkan insulin yang tidak mencukupi. Ia biasanya berlaku dalam orang yang berusia lebih daripada 40 tahun. Sebilangan besar pesakit (lebih kurang 85%) adalah gemuk. Keadaan ini biasanya bersifat keturunan. Rawatan biasanya terdiri daripada pengawalan pemakanan sahaja atau pengawalan pemakanan dan pengambilan ubat. Sesetengah pesakit juga memerlukan suntikan insulin. 

Diabetes Sekunder

Penyakit kencing manis ini disebabkan oleh penyakit pankreas yang lain, peningkatan permintaan terhadap fungsi pankreas yang tidak normal, seperti dalam penyakit kencing manis semasa mengandung, dan yang disebabkan oleh ubat dan toksin. Lebih kurang 20 hingga 25% wanita yang mengalami diabetes gestasi, atau penyakit kencing manis semasa mengandung, akan mengalami penyakit kencing manis apabila usia mereka telah meningkat. Rawatan bagi diabetes gestasi adalah melalui pengawalan pemakanan sahaja atau pengawalan pemakanan dan pengambilan ubat.

Simptom / Gejala
Simptom-simptom yang paling biasa ialah:
v Kerap membuang air kencing
v Sentiasa berasa dahaga
v Selera makan meningkat
v Letih
v Hilang berat badan
v Jangkitan kulit yang kerap, misalnya jangkitan kulat pada kawasan kemaluan
v Luka yang lambat sembuh
v Kadang-kadang penglihatan menjadi kabur

Kebanyakan orang mempunyai satu atau lebih simptom tetapi ada orang yang tidak mempunyai sebarang simptom.

Rawatan
Penyakit kencing manis biasanya ia merupakan suatu penyakit seumur hidup. Tujuan rawatan untuk penyakit kencing manis ialah untuk melegakan simptom dan mengembalikan paras gula darah kepada paras normal dan untuk mencegah komplikasi. Penyakit kencing manis yang dibiarkan tanpa kawalan akan menyebabkan kerosakan buah pinggang, mata, kaki dan kulit. Cara mengawal penyakit kencing manis termasuklah pemakanan, penjagaan berat badan, senaman dan ubat.

Pemakanan
Pengawalan pemakanan adalah penting untuk mengawal diabetes. Pemakanan yang betul bukan setakat mengelakkan makanan dan minuman yang manis sahaja.
v Pesakit kencing manis harus makan 3 kali sehari setiap hari pada masa yang
    ditetapkan. Pesakit tidak patut tertinggal masa makan.

v Makanan yang mengandungi kandungan fiber yang tinggi seperti roti jagung, mi,
    oat, biskut kraker yang tidak dimaniskan, chickpea, lentil dan sayur-sayuran harus
    diambil.

v Makanan yang mengandungi kandungan gula yang tinggi, misalnya gula yang telah
    diproses, coklat dan madu harus dielakkan.

v Pengambilan lemak tepu harus dikekalkan pada paras minimum kerana
    peningkatan pengambilan lemak akan meningkatkan risiko serangan penyakit
    jantung. Elakkan daripada
    menggorengmakanan, sebaliknya, pangganglah makanan anda.

v Pengambilan garam dan makanan yang masin harus dikurangkan. Elakkan
    makanan seperti kerepek dan kacang tanah.

v Makanan pesakit kencing manis harus dirancang terlebih dahulu. Makanan haruslah
    seimbang dan kandungan kalori dalam makanan haruslah tetap. Ini bertujuan untuk
    memastikan terdapat beban glukosa yang tetap untuk dikendalikan oleh badan.

v Pengambilan kalori yang terkawal adalah baik untuk mengekalkan berat badan yang
    normal.

v Pengambilan alkohol perlu dikekalkan pada paras minimum atau dielakkan kerana
    alkohol akan mengubah paras glukosa darah.


Pesakit kencing manis harus mengamalkan pemakanan yang seimbang. Mereka boleh memakan makanan yang dimakan oleh seisi keluarga, tetapi dalam jumlah yang sederhana, dan mengelakkan gula-gula dan makanan manis yang lain. Mereka tidak perlu membeli ‘makanan diabetes’ yang khas kerana makanan ini adalah mahal dan tidak membawa banyak manfaat. Selain itu, terdapat formula nutrisi yang khas untuk pesakit kencing manis yang tidak dapat mematuhi gaya pemakanan yang disyorkan. Walau bagaimanapun, adalah penting untuk mengingat bahawa pemakanan yang sihat ialah kunci kepada diet seorang pesakit kencing manis.

Senaman
Lebih kurang 50% daripada pesakit kencing manis dengan diabetes jenis II mempunyai berat badan yang terlalu tinggi. Adalah penting untuk mengekalkan berat badan yang ideal dengan senaman yang konsisten. Senaman membolehkan insulin untuk bertindak dengan lebih baik dan mengekalkan badan yang cergas dan pesakit menjadi lebih sihat. Senaman yang ideal bagi pesakit kencing manis harus dirancang selepas berjumpa dengan doktor, supaya komplikasi seperti hipoglisemia (kurang gula darah) dapat dielakkan. Berundinglah dengan doktor yang merawat pesakit itu sebelum memulakan sebarang program senaman.

Insulin
Insulin ialah ubat pilihan bagi diabetes jenis I. Insulin mula dihasilkan untuk rawatan penyakit kencing manis pada tahun 1921. Pada masa itu, bentuk insulin yang ada cuma jenis bovin (daripada lembu) dan porsin (daripada khinzir). Kini, terdapat bentuk sintetik yang serupa dengan insulin yang dihasilkan dalam badan. Insulin ini dihasilkan daripada yis dan bakteria. Insulin hanya diberikan melalui suntikan kerana ia boleh dimusnahkan dalam perut jika diberi melalui mulut. Doktor akan menentukan jenis ubat yang perlu diambil. Sekiranya insulin diberikan, doktor akan merancang program rawatan yang khas untuk setiap pesakit. Pengkelasan insulin adalah berdasarkan:
v Masa mula tindak (ia berkaitan dengan kelajuan serapan insulin ke dalam aliran
    darah).

v Kesan puncak. Masa insulin mencapai kesan maksimum.
v Jangka masa tindak. Tempoh masa insulin bertindak.

Tablet anti-diabetes
Tablet ini tidak mengandungi insulin tetapi mengandungi ubat yang merangsang pankreas untuk menghasilkan lebih banyak insulin, atau membantu sel untuk menggunakan insulin yang sedia ada dengan lebih berkesan. Selepas mula mengambil ubat, doktor harus diberitahu sekiranya terdapat sebarang kesan samping seperti serangan paras gula darah rendah, cirit-birit atau ruam. Terdapat beberapa kelas ubat anti-diabetes, iaitu:
v Sulfonilurea – ubat ini merangsang pankreas untuk menghasilkan lebih banyak
     insulin. Misalnya chlorpropamide, glibenclamide, glipizide.
v Ubat lain yang merangsang pengeluaran insulin – ubat ini seperti repaglinide
     merangsang pankreas untuk menghasilkan insulin tetapi adalah terutamanya
     berkesan untuk mencegah paras glukosa yang tinggi selepas makan kerana ubat
     ini bertindak dengan cepat dan dimetabolismakan dengan cepat.

v Biguanid – ubat ini mengurangkan penghasilan glukosa dalam hati dan juga
     menjadikan tisu lebih sensitif terhadap insulin, contohnya metformin.
 
v Thiazolidinedion – ubat ini meningkatkan sensitiviti insulin dengan mengaktifkan
     gen-gen tertentu yang terlibat dalam pembentukan lemak dan metabolisma
     karbohidrat. Misalnya, troglitazone, rosiglitazone
 
v Perencat alfa-glukosaidase – ubat ini mengurangkan penyerapan glukosa dalam
     usus kecil. Misalnya acarbose.


Hipoglisemia
Hipoglisemia atau serangan akibat paras glukosa darah yang rendah boleh berlaku ketika menjalani rawatan penyakit kencing manis. Keadaan ini biasanya berlaku kerana:
v Makan terlalu sedikit.
v Masa makan yang tidak tetap.
v Terlalu banyak insulin atau ubat anti-diabetes
v Tidak mengambil makanan yang mencukupi sebelum bersenam atau senaman yang terlalu
     berat.

v Penyakit misalnya cirit-birit
Penyesuaian pada rawatan dibuat adalah amat bergantung kepada gaya hidup pesakit. Ini adalah bertujuan untuk mengelakkan paras glukosa darah daripada jatuh sehingga di bawah paras normal dan mencetuskan serangan hipoglisemia.

Simptom
Simptom hipoglisemia adalah:
v Kurang tumpuan atau pemikiran yang keliru
v Mudah marah
v Pening
v Loya dan lemah
v Berpeluh, pucat dan kulit yang sejuk
v Penglihatan yang kabur
Rawatan ialah pengambilan gula dalam bentuk tablet glukosa, gula-gula atau minuman manis melalui mulut dengan serta-merta. Masa pemulihan biasanya adalah amat cepat. Walau bagaimanapun, sekiranya simptom itu masih ada, pesakit harus dibawa ke hospital dengan cepat untuk rawatan secepat mungkin.

Komplikasi
Semua bentuk diabetes, jika tidak dikawal, boleh mengakibatkan komplikasi yang melibatkan beberapa organ dan bahagian tubuh. Antara komplikasi yang paling teruk adalah komplikasi yang melibatkan buah pinggang, mata dan salur darah. Adakalanya, pengesanan awal adalah sukar kerana sesetengah komplikasi tidak mempunyai simptom yang nyata pada tahap awal.

Komplikasi Kesan akhir
Retinopati Penglihatan yang terjejas dan boleh mengakibatkan mata menjadi buta. Neuropati Kerosakan saraf yang boleh menyebabkan rasa sakit atau kehilangan deria pada tangan dan kaki. Komplikasi mungkin memerlukan amputasi (pemotongan) kaki. Pergerakan salur pencernaan terganggu dan boleh menyebabkan cirit-birit dan/atau sembelit. Nefropati Penyakit buah pinggang yang boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang dan kematian awal.Kecederaan salur darah besar Kecederaan ini boleh mengakibatkan serangan jantung, strok atau kekurangan bekalan darah ke anggota bawah. Adalah sangat penting untuk mengawal penyakit kencing manis. Seseorang pesakit kencing manis boleh mengalami lebih daripada satu komplikasi sekiranya penyakitnya tidak dikawal untuk jangka masa yang lama.

Pengawalan paras glukosa darah
Dalam pesakit kencing manis, pemantauan berkala paras glukosa darah adalah penting, kerana ini akan menunjukkan sama ada rawatan adalah mencukupi atau perlu diperbetulkan.Paras glukosa darah selepas berpuasa bagi orang yang tidak menghidapi penyakit kencing manis adalah di antara 4 dan 6.6 mmol glukosa per liter. Walau bagaimanapun, paras sehingga 7.8 mmol/L adalah paras yang boleh diterima. Paras glukosa darah pos-prandial (selepas makan) sehingga 10 mmol/L adalah paras yang boleh diterima. Paras di bawah 4 mmol/L menunjukkan paras glukosa darah yang rendah. Dengan nilai yang begitu rendah, biasanya simptom hipoglisemia hadir pada orang itu. Ujian toleransi glukosa boleh dilakukan setelah mengukur paras glukosa darah selepas berpuasa. Ujian darah dilakukan 2 jam selepas meminum suatu larutan glukosa yang pekat. Dalam orang yang normal, terdapat peningkatan glukosa darah pada mulanya dan paras ini akan kembali menjadi normal dalam masa 2 jam. Dalam pesakit kencing manis, terdapat peningkatan yang tinggi pada mulanya dan paras ini kekal tinggi (11.1 mmol/L atau lebih) selepas 2 jam. Satu ujian lain yang boleh dilakukan ialah pengukuran HBA1c atau ‘ujian hemoglobin terglikosilat’. Ujian ini menunjukkan paras glukosa darah bagi 6 hingga 8 minggu sebelum ujian itu dilakukan. Ia memberikan petunjuk bagi kawalan penyakit kencing manis bagi tempoh masa yang lebih lama berbanding dengan paras glukosa darah yang hanya memberikan petunjuk bagi kawalan penyakit kencing manis pada masa ujian.

Pemantauan glukosa darah
Paras glukosa dalam badan boleh ditentukan melalui ujian air kencing. Walau bagaimanapun, ujian darah memberikan nilai yang lebih tepat. Paras glukosa darah boleh diuji di rumah dengan menggunakan meter glukosa darah yang mudah. Doktor atau ahli farmasi anda boleh dihubungi bagi mendapatkan nasihat mengenai jenis meter dan cara menggunakan meter tersebut. Ujian glukosa darah adalah sangat mudah. Pesakit kencing manis disyorkan untuk menguji darah mereka secara berkala 2-3 kali seminggu atau pada bila-bila masa pesakit mengalami simptom hipoglisemia. Bacaan harus direkodkan dan ditunjukkan kepada doktor semasa lawatan ke klinik yang seterusnya. Sekiranya pada bila-bila masa didapati bahawa bacaan adalah terlalu tinggi atau terlalu rendah, pesakit harus berjumpa dengan doktor yang akan memberikan nasihat mengenai cara-cara untuk mengekalkan paras glukosa darah di dalam had normal dengan membetulkan ubat, diet atau program senaman.

Keperluan penjagaan diri pesakit kencing manis
Pesakit kencing manis perlu mengikuti diet yang dirancang khas dan program senaman serta mengambil ubat yang diberikan mengikut masa. Selain itu, disebabkan pesakit kencing manis mudah mendapat komplikasi tertentu, mereka harus mengambil langkah berjaga-jaga. Tumpuan khas harus diberikan kepada kawasan yang paling bermasalah iaitu kulit, kaki, mata dan gigi.

Penjagaan kulit
Pesakit kencing manis perlu menjaga kulit mereka dengan baik kerana mereka mudah mendapat jangkitan kulit. Mereka haruslah sentiasa menjaga kebersihan kulit. Luka kecil atau calar sahaja pun perlu diberikan tumpuan segera dan dirujuk kepada doktor sekiranya tidak pulih. Langkah-langkah yang perlu diambil adalah:
v Gunakan agen pembersih yang bersifat asid, dengan pH 5.5. Ini memastikan fungsi
     perlindungan kulit yang semula jadi dikekalkan.

v Agen pembersih perlulah lembut, kerana agen pembersih yang kuat akan menyebabkan
     iritasi kulit.

v Gunakan air suam untuk mencuci.
v Agen pembersih yang beralkali haruslah dielakkan, terutamanya jika kulit adalah gatal atau
     terdapat inflamasi.

v Elakkan daripada menggaru kulit kerana kulit yang pecah akan menggalakkan jangkitan.
v Semasa mandi, berikan tumpuan kepada kawasan ketiak, kemaluan dan kelengkang,
     lipatan kulit dan kawasan di antara jari kaki.

v Selepas mandi, elakkan kekeringan kulit dan gunakan losen pelembap untuk mengekalkan
     kelembapan kulit.


Penjagaan kaki
Pesakit kencing manis harus menjaga kaki mereka dengan baik kerana mereka mungkin tidak merasai sebarang luka atau ulser disebabkan oleh kekurangan deria di kawasan itu.
v Pesakit kencing manis harus membersihkan kaki mereka setiap hari dan mengeringkan
     kaki dengan sempurna, khususnya kawasan di antara jari kaki.

v Bagi kekeringan kulit, pesakit kencing manis haruslah membubuhkan sedikit krim
     pelembap.

v Kuku jari kaki harus dipotong lurus untuk mengelakkan kecederaan kepada kulit.
v Kasut haruslah selesa dan tidak terlalu ketat. Pesakit kencing manis haruslah memastikan
     bahagian dalam kasut bebas daripada sebarang gerigit atau objek kecil sebelum memakai
     kasut.

v Kaki haruslah diperiksa setiap hari bagi luka, calar atau ulser.
v Jangan membubuh sebarang agen kimia pada kaki seperti plaster ketuat atau pembuang
     kalus (kulit tebal pada kaki)

kerana bahan-bahan ini mengandungi asid yang boleh menyebabkan iritasi kulit yang seterusnya boleh menyebabkan ulser.


Penjagaan mata
Penyakit mata seperti katarak, glaukoma dan kebutaan akibat retinopati adalah lebih kerap berlaku dalam pesakit kencing manis. Terdapat kejadian katarak yang lebih tinggi di kalangan pesakit kencing manis dan perkembangan penyakit adalah lebih cepat. Glaukoma, yang juga biasa berlaku pada pesakit kencing manis, harus didiagnos awal. Rawatan cepat dapat meminimakan kerosakan pada saraf optik dan kehilangan penglihatan. Salah satu daripada penyebab utama kebutaan dalam pesakit kencing manis ialah retinopati. Semakin lama seseorang pesakit menghidapi penyakit kencing manis, dan terutamanya jika tidak dirawat dengan betul atau dikawal, risiko retinopati diabetik meningkat.

Pesakit kencing manis haruslah:-
v Pergi menjalani pemeriksaan kesihatan setiap tahun.
v Memeriksa tekanan darah secara berkala.
v Berjumpa dengan pakar mata sekiranya terdapat sebarang masalah penglihatan.

Penjagaan dental (gigi)
Pesakit kencing manis harus berjumpa dengan doktor gigi sekali setiap enam bulan. Sebarang luka atau lesi dalam mulut termasuklah penyakit gusi harus dikenalpasti dan rawatan harus diberi dengan cepat. Sebaik sahaja seseorang didapati menghidapi penyakit kencing manis, dia seharusnya mengubah gaya hidupnya dan lebih bertanggungjawab terhadap kesihatan dirinya.